Thursday, 28 March 2013

Cara tidur yang selesa



Mengapakah saya tidak dapat tidur dengan selesa?

Salah satu cabaran besar semasa hamil ialah mendapatkan posisi tidur yang selesa, terutamanya jika anda biasa tidur meniarap atau menelentang. Kedua-dua posisi ini mendatangkan masalah semasa hamil. Pada trimester pertama, payudara anda yang membengkak mungkin menyebabkan sukar bagi anda tidur meniarap, dan apabila perut anda semakin membesar, tidur meniarap akan menjadi sungguh tidak selesa. 

Tidur menelentang meletakkan berat uterus anda sepenuhnya pada bahagian belakang, usus kecil dan vena kava inferior (salur darah yang membawa darah daripada bahagian bawah badan ke jantung). Berbaring menelentang juga boleh meningkatkan risiko anda mendapat sakit belakang dan buasir, masalah penghadaman, pernafasan dan pengaliran darah, malah tekanan darah rendah


Apakah yang boleh saya buat mengenainya?

Semasa dalam trimester pertama, berlatihlah tidur mengiring ke kiri. Tidur dalam posisi ini memberi manfaat kepada bayi anda kerana ia memaksimakan pengaliran darah dan nutrien ke plasenta. Ia juga membantu buah pinggang anda mengkumuhkan bahan buangan dan cecair daripada badan anda dengan lebih efisien, lantas mengurangkan bengkak di buku lali, tapak kaki dan tangan

Cuba tidur mengiring ke sebelah kiri dengan memeluk bantal yang diletakkan di celah kaki anda. (Kembali semula ke posisi ini jika anda terjaga di tengah malam dan mendapati anda dalam keadaan meniarap atau menelentang.) Anda boleh beli beberapa bantal khas untuk ibu mengandung, walaupun bantal biasa juga boleh digunakan. Susun bantal di celah kaki, di bawah perut, dan di belakang badan untuk lebih keselesaan dan sokongan tambahan. Dalam trimester ketiga, anda mungkin mendapati bahawa memakai coli khas untuk tidur dan tali pinggang materniti dapat memberi sokongan tambahan dan membuat anda lebih selesa. 

Akhir sekali, jika baring mengiring memberi banyak tekanan kepada paha anda, belilah pelapik tilam yang lembut. Letakkannya di atas tilam, di bawah cadar untuk kelesaan dan peredaran udara tambahan. Pelapik ini boleh didapati dalam pelbagai saiz di kebanyakan pasaraya besar. 

TERIMA KASIH : BABY CENTER

No comments:

Post a Comment