Tuesday, 20 December 2011

PETUA TRADISIONAL - part 8



71.    KURANGKAN SAKIT GIGI

Sakit gigi amat menyakitkan. Ia membuatkan anda tidak tenang, cepat marah dan tidak boleh membuat kerja dengan selesa. Caranya, ambil setangkai bunga cengkih dan masukkannya ke dalam gigi yang berlubang. Biarkan beberapa ketika, sakit gigi anda akan berkurangan perlahan-lahan.


72.    ASAM GELUGUR UBAT SAKIT TEKAK

Dewasa ini dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, ramai yang menderita sakit tekak. Petua mudah menghilangkan sakit tekak, ambil beberapa keping asam gelugur, dibakar hingga hangus. Selepas itu, tumbuk dan gaulkan dengan sedikit air sirih. Kemudian sapukan pada bahagian tekak yang sakit. Insya- Allah sakit tekak anda akan cepat sembuh.


73.    KAIN BATIK TIDAK LUNTUR

Untuk mengelak kain batik luntur dan pudar warnanya, ambil beberapa helai daun betik, kemudian rebus dengan setengah periuk air. Apabila air mendidih, angkat dan tuangkan ke dalam satu bekas. Masukkan kain batik dan rendam semalaman. Esoknya, cucilah seperti biasa dan jemur.


74.    TOMATO, EPAL LICINKAN KULIT

Bagi mereka yang kulitnya berminyak, berjerawat ataupun mempunyai kesan parut, cubalah petua mudah ini. Parut sebiji epal atau sebiji tomato yang cukup masak. Kemudian gosoklah perlahan-lahan pada wajah dan leher. Kandungan gelatin pada tomato boleh menghilangkan kehitaman dan parut baru. Biarkan 20 minit, barulah dicuci wajah anda dengan air suam. Lakukan berulang-kali dan anda akan dapat hasil memuaskan.


75.    RAMPING SEMULA JADI

Hendak kurus tanpa sebarang perbelanjaan? Cara paling senang ialah dengan mendisplinkan diri. Iaitu ketika suapan dikunyah 40 kali. Jangan sekali-kali makan berulamkan air. Petua ini sangat baik untuk mengelakkan perut buncit, selain dapat menghindarkan sakit pinggang.


76.    WANGIKAN RAMBUT

Ambil air perahan 10 helai daun pandan wangi yang ditumbuk lumat. Kemudian sapukan pada seluruh rambut dan kulit kepala, pada sebelah petang. Biarkan beberapa jam dan cucilah rambut anda dengan air bersih sebelum tidur. Hasilnya rambut anda menjadi wangi dan mencegahnya daripada beruban.


77.    HILANGKAN SAKIT GIGI

Sakit gigi membuatkan anda serba tidak kena dan mudah marah. Untuk menghilangkan rasa sakit gigi, cuba minum air rebusan kulit pokok dan daun pokok gajus. Atau ambil pucuk dan daun pokok cengkih lalu dikunyah-kunyah atau tumbukkan daun serai hingga hancur. Masukkan ke dalam air hangat dan tambah sedikit garam. Air serai ini hendaklah digunakan sebagai bahan kumur. Boleh juga ambil sedikit kapur sirih dan sapukan pada gigi yang sakit itu. Insya-Allah sakit gigi anda cepat hilang.


78.    BENGKAK GUSI

·         Gusi bengkak boleh diatasi dengan mencuba petua ini. Ambil 5 helai daun jarak, satu liter air bersih dan sesudu besar air kapur sirih. Rebuskan ramuan ini dan minum airnya.

·          Petua kedua ialah dengan mengambil umbut nanas. Hancurkan dan campurkan sedikit garam halus. Tampalkan pada gusi yang bengkak.



79.    GUSI BERDARAH

Ambil beberapa helai daun bacang dan masukkan ke dalam periuk berisi air. Campurkan beberapa helai daun inai. Kemudian rebuslah dan apabila airnya mendidih bubuhlah sedikit asam gelugur dan garam secukup rasa. Berkumurlah dengan air rebusan ini. Jika gusi anda luka, elok juga berkumur dengan air daun sirih.


80.    PELEMBAB MUKA SEMULA JADI

Jika ingin berjimat dan tidak mahu membazirkan wang membeli pelembab muka, anda boleh menggunakan pelembab muka semula jadi. Ambil beberapa lebar daun kubis, sesudu madu lebah dan sedikit air. Kisarkan daun kubis sehingga halus dan gaulkan dengan kedua-dua bahan itu. Sapukan ke wajah hingga ke leher dan biarkan selama 20 minit. Cara menggunakan kapas lembab. Bersihkan dengan lembut. Pasti kulit anda akan sentiasa lembab dan tegang.

No comments:

Post a Comment