Tuesday, 20 December 2011

PETUA TRADISIONAL - part 9



81.    URUTAN WAJAH CARA BETUL

Muka akan tampak berminyak terutamanya selepas bangun daripada tidur. Sebenarnya, itulah masa sesuai untuk mengurut wajah. Gunakan jari telunjuk kedua-dua belah tangan. Mula letakkan kedua-duanya di bawah mulut (dagu). Pusingkan jari ke pipi, pipi ke hidung seterusnya ke bahagian dahi. Perlu diingat, jangan sesekali mengurutnya cara menurun kerana ia kan menpercepatkan proses kedutan di wajah. Buatlah setiap pagi disusuli dengan meminum air suam sebelum mengambil sarapan pagi.


82.    SERI DAUN INAI

Inai bukan saja boleh digunakan untuk memerahkan jari dan rambut tetapi ada juga banyak kegunaannya. Untuk mendapatkan wajah yang cantik berseri membuatkan orang tidak jemu memandang gunakanlah khasiat inai. Sesungguhnya wajah jelita harus dimiliki oleh setiap orang terutamanya wanita. Caranya mudah saja. Dapatkan segengam daun inai yang agak tua dan rebus kira-kira tiga cawan air. Minumlah air rebusan ini sebanyak tiga kali seminggu. Insya-Allah wajah anda berseri.


83.    KHASIAT KUNYIT MUDA

Mingkin tidak sesiapa pun menyangka, kunyit muda boleh menaikkan seri wajah seseorang. Unutk mencubanya, dapatkan kunyit muda yang segar, bersih dan potongkan nipis. Jadikan ia ulam sewaktu anda makan nasi. Sekiranya tidak biasa dengan baunya yang mentah, anda boleh mengambil ulam lain sebagai sampingan. Jika anda rajin mengamalkannya, wajah pasti akan berseri dan menawan


84.    KEGUNAAN PUCUK JAMBU BATU

Jika anda ada masalah untuk menyembuhkan jerawat, gunakan cara tradisional untuk mengatasinya. Ambil beberapa helai pucuk jambu batu dan gilingkannya (atau ditumbuk) sehingga halus. Kemudian sapukannya pada bahagian yang ada jerawat. Pakailah selalu. Untuk menjadikan lebih mujarab, pakailah bersama-sama dengan bedak sejuk dan hasilnya tentu tidak mengecewakan.


85.    CARA WANGIKAN ALMARI PAKAIAN

Daun pandan bukan saja menambah aroma dan keenakan nasi lemak dan juadah kuih-muih tradisional Melayu, tetapi ia juga boleh dijadikan bunga rampai dalam majlis pertunangan dan perkahwinan Melayu. Khusus bagi mereka yang inginkan almari pakaian sentiasa berbau harum menggunakan bahan yang murah dan bersih. Daun pandanlah jawapan terbaik.
·         Caranya, ambil beberapa helai daun pandan yang sederhana tua, kerat-keratkan kepada lebih kurang tiga sentimeter panjang dan letakkannya di dalam almari pakaian anda. Tukar kepada daun pandan yang baru selepas tiga hari.


86.    ELAK BISA PAKU BERKARAT

Apabila kaki anda luka kerana terpijak paku yang berkarat, segera cari bawang putih yang berdaun. Buang kulitnya dan celupkan ia ke dalam minyak dan panaskan seketika di atas api yang sederhana besar. Kemudian segera tampalkan bawang putih itu pada bahagian yang luka tadi dan tukar bawang putih dua kali sehari. Ia dengan segera membuang bisa karat yang melekat dalam daging kaki anda. Jika keadaannya tidak pulih dan terus berbisa, segera jumpa doktor.


87.    MENURUNKAN TEKANAN DARAH TINGGI

Ada dua jenis bahan yang sangat baik dimakan untuk menurunkan tekanan darah tinggi.
·         Pucuk dan bunga betik. Caranya ialah dengan mencelurkan pucuk dan bunga betik itu hingga masak dan dimakan. Ia boleh dibuat kerabu atau dimakan sengan sambal belacan. Rasanya memang sedikit pahit, tetapi amat baik untuk mengubati penyakit darah tinggi.
·         Daun kucai. Bersihkan secekak daun kucai dan dengan sedikit gula batu, kisar tanpa menggunakan air. Ambil pekatan yang dihasilkan itu dan embunkan semalaman. Kemudian boleh diminum pada sebelah pagi dan sebelum makan. Daun kucai amat baik untuk mengurangkan tekanan darah tinggi seperti bunga dan pucuk betik tadi. Amalkan selalu, insya-Allah hasilnya sungguh memuaskan.


88.    UBAT KENCING LAWAS

Bagi mereka yang menghadapi masalah kencing tidak lawas atau tanda-tanda awal ada penyakit batu karang, ambil beberapa biji lobak putih dan batang kangkung dengan akarnya sekali. Bersihkan kedua-dua bahan ini dan rebus pada kadar air yang sederhana banyaknya. Apabila sudah cukup masak, angkat dan biarkan air menjadi agak-agak suam, barulah diminum. Petua ini selain dapat melawaskan kencing, juga dapat memecahkan batu karang yang belum serius.


89.    ATASI SAKIT TUMIT KAKI

Kebanyakan mereka yang sudah berusia, sering mengadu sakit pada bahagian tumit. Ia bukan saja menyukarkan anda berjalan tetapi juga apabila berdiri agak lama pada satu-satu tempat. Sediakan lebih kurang satu kilogram garam kasar dan goreng tanpa minyak di dalam kualai menggunakan api yang sederhana besar. Apabila semua garam mulai panas, angkat dan bungkus dalam kain bersih. Gunakan untuk menuam pada bahagian tumit anda yang sakit itu. Amalkan selalu, sakit tumit anda pasti berkurangan dan insya-Allah akan sembuh sepenuhnya.


90.    MENGHILANGKAN PAHIT DAUN BETIK

Bagi anda yang suka makan daun betik sebagai ulam, anda boleh menghilangkan rasa pahit daun betik itu dengan mencampurkan daun senduduk  ketika merebusnya.

No comments:

Post a Comment