EPISOD 3
Cara-cara mengenali pasangan selain daripada ber'couple'.
Sebagai agama yang paling sempurna dan satu-satunya agama yang diredhai Allah, Islam telah pun menggariskan panduan untuk diikuti oleh penganutnya berkenaan hal pra-perkahwinan. Cara yg dianjurkan Islam untuk pasangan yang ingin berkahwin kenal-mengenali adalah melalui cara pertunangan.
Tapi amat menyedihkan apabila paradigma masyarakat tentang konsep pertunangan sudah tersimpang jauh dari kebenaran. Buktinya, pertunangan yang sepatutnya dijadikan tempoh untuk lelaki & wanita HANYA saling mengenali telah dijadikan 'lesen' untuk pasangan tersebut berdua-duaan tanpa mahram, ibarat pasangan yang sudah bernikah. Konsep ini salah sama sekali !
Memetik kata-kata Ustaz Hassan Din dalam Al-Kuliyyah di bawah topik "Jodoh" di TV3 bertarikh 28 Julai 2006 berkenaan konsep pertunangan dalam Islam, beliau berkata, "Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan wanita akan saling mengenali antara satu sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan."
Sebagai contoh, katakan Superman sudah bersedia untuk berkahwin (maksud 'bersedia' di sini adalah bersedia dari segi kewangan, keadaan, mental serta fizikal). Dan sekarang adalah masa yang sangat sesuai dan ideal untuknya mendirikan rumah tangga. Pada masa yang sama juga dia sudah mempunyai calon sendiri, katakan si 'Cinderella' (bukan nama sebenar).
Superman berhasrat untuk memperisterikan si 'Cinderella'. Superman yang sangat faham akan konsep pertunangan pun terus berjumpa dengan kedua ibu bapa si 'Cinderella' dan menyatakan hasratnya untuk menyunting bunga rafflesia di taman (merisik). Apabila ibu bapa si 'Cinderella' sudah bersetuju dan si 'Cinderella' juga sudah bersetuju apabila diberitahu oleh ibu bapanya, Superman pun menghantar rombongan keluarganya untuk meminang si 'Cinderella'. Tidak timbul langsung hal-hal maksiat kan? Kan cantik tu. Dan apabila si 'Cinderella' sudah menjadi tunangan Superman, maka HARAM bagi lelaki lain meminang si 'Cinderella', walaupun lelaki itu adalah 'Professor Gadget' (bukan nama sebenar).
"Lelaki boleh la, kalau perempuan? Takkan perempuan nak merisik lelaki pula, perigi cari timba namanya tu". Mungkin inilah suara-suara yang bakal berkumandang memberikan respon. Ok. Mari kita sama-sama menelusuri kembali sirah perkahwinan agung, Muhammad S.A.W. dan Siti Khadijah r.a.. Saya yakin ramai yang akan mengakui bahawa perkahwinan agung ini dimulakan oleh Siti Khadijah r.a. dahulu. Ini telah pun diajar dalam subjek Sirah di sekolah agama. Pada mulanya, Siti Khadijah r.a. menyatakan hasrat hatinya kepada pakcik Rasulullah S.A.W. iaitu Abbas, agar merisik baginda.
Setelah baginda bersetuju, barulah keluarga baginda menghantar rombongan meminang Siti Khadijah r.a.. Begitulah yang diajarkan sirah kepada kita. Lalu, apa salahnya jika wanita yg memulakan dahulu? Malah wanita sebegini lebih mulia daripada wanita yang hanya menunggu dipinang oleh putera raja kayangan.
Ustaz Hassan Din juga turut menegaskan bahawa pasangan yang bertunang diharamkan bergaul bebas seperti suami isteri. Mereka masih tetap terikat dengan batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi. Tempoh bertunang hanyalah tempoh kenal-mengenal, bukannya tempoh melayan-layan perasaan cinta. Beliau menambah,
"Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak."
Jika konsep pertunangan ini dilihat dengan mata hati yanang diselaputi iman dan taqwa, akan terzahir berbagai hikmah yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Bijaksana. Selain menghindari maksiat, pertunangan juga dapat memelihara maruah kedua-dua keluarga yang terlibat. Kalau pun pertunangan diputuskan, kedua-dua pihak keluarga masih dapat meneruskan silaturrahim yg sudah terbina, tanpa rasa dendam dan benci.
Maka dengan lahirnya ketiga-tiga episod ni, diharap jelaslah kepada kita serba sedikit tentang hukum ber'couple' sebelum nikah dan bagaimana cara yang sebenarnya untuk kita mengenali pasangan untuk tujuan pernikahan.
Dengan ini, saya menyeru diri saya sendiri dan kawan-kawan sekalian supaya tinggalkanlah maksiat cinta nafsu syaitan laknatullah ini secepat mungkin. Bagi mereka yang ber'couple' tu, cepat-cepat lah break up. Kita ni dah la amal tak banyak, sembahyang pula ada yang tinggal. ditambah pula dengan dosa 'couple' lagi (dosa berdua-duaan, zina mata, zina telinga, zina tangan, zina kaki dan zina hati). Dibuatnya esok mati, macam mana? Memanglah dosa masing-masing tanggung, tapi jika dah mati orang lain juga yang tolong mandikan, kapankan, tanamkan.
Dan janganlah pula kita menjadi orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhannya. Firman Allah dalam Surah Al-Jaathiyah ayat 23 :
"Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?"
Apabila sudah diketahui hukum-hukum Allah, maka hendaklah kita patuhinya. Yang haram segera ditinggalkan. Harap kita tidak menjadi seperti mereka yang di dalam firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Jaathiyah ayat 7-11 :
Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa; (7) Yang mendengar ayat-ayat penerangan Allah sentiasa dibacakan kepadanya, kemudian dia terus berlagak sombong (enggan menerimanya), seolah-olah dia tidak mendengarnya; oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (8) Dan apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu dari ayat-ayat penerangan Kami, dia menjadikannya ejek-ejekan; mereka yang demikian keadaannya, akan beroleh azab yang menghina. (9) Di hadapan mereka (di akhirat kelak) ada Neraka Jahanam (yang disediakan untuk mereka) dan apa jua yang mereka usahakan, tidak dapat menyelamatkan mereka sedikit pun; demikian juga yang mereka sembah atau puja selain Allah, tidak dapat memberikan sebarang perlindungan dan (kesudahannya) mereka akan beroleh azab seksa yang besar. (10) Al-Quran ini ialah hidayat petunjuk yang cukup lengkap dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (11)
Bagi mereka yang mungkin sudah agak lama mengamalkan maksiat cinta ini dalam kehidupan seharian mereka, mungkin agak sukar untuk meninggalkannya. Namun ingatlah firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah ayat 216 :
"..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."
Dan semoga kita semua diberi kekuatan iman dan taqwa oleh Allah S.W.T. untuk menegakkan Islam di dalam diri kita. Kerana ramai kawan-kawan kita di luar sana yang sudah tahu halal haram tapi masih melakukan yang ditegah mungkin disebabkan mereka tak punya kekuatan. Dan percayalah kepada qada' dan qadar Allah S.W.T., jika ada jodoh takkan ke mana, jika bukan di dunia yang sementara ni, di syurga yang kekal abadi Insya Allah. Tapi jika bukan jodoh, berkorbanlah nyawa hatta anda mempunyai 100 nyawa sekalipun, nescaya takkan kesampaian.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment